Bahasa, Language, Lughah

Saya suka bahasa. Mungkin kerana saya seorang anak cikgu Bahasa Melayu, dan juga anak kepada seorang ayah yang tahu lebih dari 6 bahasa, tapi saya rasa sangat bersyukur kerana dikurniakan minat yang berharga ini. Kita berbahasa untuk berkomunikasi sesama manusia. Idea, buah fikiran dan juga perasaan boleh disalurkan/disampaikan melalui pelbagai cara seperti body language, tulisan, percakapan, dan sebagainya. Jika anda pernah menonton "One Liter of Tears", Mizuno Sensei pernah berkata, dalam komunikasi, apa yang paling penting adalah maklumat yang ingin disampaikan, no matter how slow the process is. Dalam Quran, Allah berfirman

"Wahai manusia, Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa bangsa dan bersuku suku agar kamu saling mengenal." (49:13)


Setiap individu mentafsir sesuatu dari pelbagai sudut, dan saya juga tak terkecuali. Berdasarkan ayat di atas, saya merasakan salah satu cara untuk berkenalan dengan manusia daripada latar belakang yang berbeza adalah melalui bahasa. Rakyat Malaysia sangat beruntung kerana kita perlu belajar Bahasa Inggeris (English) sejak di bangku sekolah. Tetapi, saya juga berpendapat bahawa pilihan kita tak perlu terhad kepada English sahaja. Oleh kerana Melayu hidup aman damai di samping bangsa Cina dan India, tak salah jikalau orang kita cuba sedikit sebanyak belajar dari kaum tersebut. Saya merasa malu apabila teman teman Cina dan India saya yang berasal dari Malaysia masih mampu untuk memahami butir perbualan saya bersama teman Melayu walaupun mereka tidak fasih berbahasa Melayu. -.-"

Di sini, saya berkenalan dengan manusia dari seluruh pelusuk dunia, termasuklah negara negara yang saya tidak pernah dengar/kenal sebelum ini. Kebolehan berbahasa English sangatlah diperlukan. Walaupun saya belum seratus peratus menguasai bahasa ini, tapi insyaAllah, saya akan terus cuba memperbaiki diri. Hari ini, oleh kerana saya berada di bumi Amerika, saya perlu berbahasa English. Esok lusa, mungkin saya akan berada di negara lain, dan kemungkinan besar juga, bahasa lain yang perlu saya pelajari. Mempelajari bahasa asing ialah satu proses yang cukup menyeronokkan kerana kita berpeluang untuk mempelajari budaya baru. Berdasarkan pemerhatian saya, individu yang berminat dengan bahasa sering kali mempunyai minda yang terbuka dan positif dalam pelbagai aspek.

Bercakap tentang bahasa, saya teringat perbualan saya bersama Pak Adib, pakcik saya yang berasal dari Indonesia.

Pak Adib: Kamu orak iso ngomong Jowo? (oh, hancur)
Saya: Sitik sitik.
Pak Adib: Neng Amerika, ngomong Melayu opo Inggeris?
Saya: Kuliah, Inggeris, rumah, Melayu.
Pak Adib: (saya kurang pasti bagaimana nak menterjemahkan bahagian ini, tapi Pak Adib risau saya juga akan melupakan bahasa Melayu seperti mana saya tidak mengendahkan bahasa Jawa)

Apa yang dapat disampaikan melalui perbualan di atas adalah bahasa itu satu tradisi, satu perjuangan. Bahasa Melayu perlu dikekalkan dan dijaga sebelum bahasa ini pupus ditelan zaman. Jikalau ada peluang, saya juga ingin memperbaiki bahasa Jawa saya, kerana itu adalah bahasa nenek moyang saya, dan sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menurunkan bahasa tersebut kepada generasi seterusnya. Banyak lagi bahasa lain yang kurang dipraktiskan dalam masyarakat kita, dan hasilnya, hanya orang orang tua sahaja yang mampu berkomunikasi dalam bahasa tersebut.

Kesimpulannya, cintailah bahasa kita. Bahasa jiwa bangsa. Di samping itu, belajarlah bahasa asing lain supaya kita dapat luaskan pemikiran dan pandangan kita.

gambar dari blog imranrazali.blogspot.com

Comments

Post a Comment

Popular Posts